EN  | BM
Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Sarawak sasar 100 peratus semua nikmati bekalan elektrik, air menjelang 2025
Tarikh : 13 Jan 2020  Sumber Berita: https://www.utusanborneo.com.my/2020/01/11/sarawak-sasar-100-peratus-semua-nikmati-bekalan-elektrik-air-menjelang-2025
 
Abang Johari sambil disaksikan kenamaan lain ketika melakukan simbolik perasmian Projek Utiliti Rakyat Kanowit, hari ini.
Abang Johari sambil disaksikan kenamaan lain ketika melakukan simbolik perasmian Projek Utiliti Rakyat Kanowit, hari ini.

KANOWIT: Kerajaan negeri mensasarkan 100 peratus seluruh penduduk Sarawak akan menikmati bekalan elektrik dan air bersih terawat menjelang tahun 2025.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu merupakan salah satu agenda terpenting kepada kerajaan.

"Ini termasuklah penduduk-penduduk luar bandar dan pedalaman dimana ia melalui Projek Rakyat Bekalan Elektrik dan Air yang telah diumumkan sebelum ini.

"Membekalkan elektrik dan air ke seluruh Sarawak merupakan satu tugas yang amat mencabar kerana separuh dari penduduknya tinggal di kawasan luar bandar dengan bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, bergunung-ganang serta jauh di hulu sungai. 

"Tetapi Kerajaan Sarawak tetap berusaha untuk memastikan semua rakyat termasuk di luar bandar yang terpencil mendapat bekalan elektrik dan air 24 jam," katanya berucap merasmikan Projek Utiliti Rakyat Kanowit di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Dato Ir Alice Jawan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB) Datu Sharbini Suhaili serta para kenamaan yang lain.

Abang Johari berkata, dalam komitmen kerajaan Sarawak untuk membekalkan elektrik kepada seluruh rakyat, pelbagai strategi yang telah dirancang di dalam Pelan Induk Bekalan Elektrik Luar Bandar.

Antaranya, katanya, ialah Skim Elektrik Luar Bandar Negeri Sarawak (SARES) dan Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

Beliau yakin bahawa Sarawak melalui sumber-sumbernya seperti empangan dan air sungai dapat dijadikan sebagai teknologi baharu untuk melaksanakan SARES dan SAWAS seterusnya memberi impak yang tinggi kepada negeri ini dari segi ekonominya juga.

"Seluruh Sarawak akan bercahaya dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi tulang belakang kerajaan negeri akan mentransformasikan Sarawak yang indah ini menggunakan teknologi kita sendiri tanpa mengharapkan orang lain," tegasnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, peruntukan khas projek rakyat berjumlah RM2.37 billion bagi tempoh 2019/2020 adalah untuk menlaksanakan projek-projek serta initiatif di bawah strategi bekalan elektrik yang bertujuan untuk mempertingkatkan liputan bekalan elektrik bagi penduduk luar bandar daripada 91 peratus dalam tahun 2018 kepada 97 peratus pada penghujung 2020.

Sehingga kini, tambahnya, hanya sebanyak 22,360 isi rumah atau tujuh peratus penduduk luar bandar yang masih belum mendapat elektrik 24 jam di seluruh Sarawak.

Bercakap mengenai projek utiliti rakyat Kanowit yang dilancarkannya, Abang Johari berkata, projek Substation Extra High Voltage itu apabila siap kelak akan memberi manfaat secara langsung kepada sejumlah 146 kampung melibatkan 2,632 isi rumah di kawasan sekitar Kanowit, sekaligus hampir kesemua penduduk di Kanowit bakal menikmati bekalan elektrik 24-jam. 

Tambahnya, kos sub stesen itu adalah sebanyak RM106 juta.