EN  | BM
Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Font: IncreaseFont: NormalFont: Decrease
Background: 1 Background: 2 Background: 3 
The Official Website of
Ministry of Utilities Sarawak

Potensi perluas hidroelektrik rentas sempadan dikaji
Posted on : 13 Jan 2020  Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2020/01/13/potensi-perluas-hidroelektrik-rentas-sempadan-dikaji
 
 Empangan Hidroelektrik Bakun merupakan penjana elektrik terbesar di Malaysia mampu  membekalkan kuasa sehingga ke negara jiran.
TERBESAR: Empangan Hidroelektrik Bakun merupakan penjana elektrik terbesar di Malaysia mampu membekalkan kuasa sehingga ke negara jiran.

KEKAYAAN dalam pelbagai sumber alam semula jadi menjadi kelebihan kepada Sarawak dalam membangunkan ekonominya.

Tidak hanya memiliki sumber semula jadi seperti flora dan fauna mahupun minyak dan gas yang menyumbang kepada ekonominya, satu lagi kelebihan Sarawak adalah sumber air yang banyak terutama yang dijana menerusi empangan hidroelektrik.

Antaranya adalah empangan terbesar, Empangan Hidroelektrik Bakun yang mampu menjana 2,400 megawatt (MW) tenaga elektrik.

Empangan yang terletak di lembangan atas Sungai Rajang merentasi Sungai Balui, 37 kilometer dari pekan Belaga itu melakar sejarah apabila ia dikembalikan kepada Sarawak daripada kerajaan persekutuan pada tahun 2018.

 Perkembangan pengambil alihan empangan itu bermula sekitar Mac 2017 apabila Sarawak mencapai persetujuan dengan kerajaan pusat untuk mengambil alih Empangan Hidroelektrik Bakun melalui syarikat miliknya Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menjadi stesen tenaga hidroelektrik terbesar negara yang bernilai RM2.5 bilion.

Rentetan daripada pengambilan empangan berkenaan pada 5 April 2018, ia sekali gus memberi peluang kepada Sarawak membangunkan pembangunan hidroelektrik sepenuhnya sumber terbabit bukan sahaja kepada negeri ini bahkan kepada negara jiran.

Infografik mengenai manfaat empangan terbesar di Malaysia, iaitu Empangan Hidroelektrik Bakun. — Infografik Bernama
Infografik mengenai manfaat empangan terbesar di Malaysia, iaitu Empangan Hidroelektrik Bakun. — Infografik Bernama

Malahan setakat ini, SEB telah mengeksport tenaga elektrik kira-kira 200 MW ke Kalimantan Barat, Indonesia.

Melihat kepada perkembangan dan kejayaan usaha berkenaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan Sarawak akan memperkembangkan lagi pembangunan hidroelektrik rentas sempadan.

Memetik ucapan beliau semasa sambutan Gawai Raya SEB pada Jun 2019, beliau menegaskan bahawa Sarawak menerusi SEB meninjau potensi jualan elektrik tambahan ke Indonesia.

Katanya, ia susulan pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur sekali gus turut memberi limpahan ekonomi kepada Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam.

“Dengan kepakaran dan kemahiran kejuruteraan SEB, potensi itu ada dan kami boleh bekerja dengan Indonesia,” katanya.

Beliau juga berkata SEB sedang dalam rundingan dengan Sabah dan negara jiran Brunei untuk perjanjian pertukaran tenaga.

Ketua Menteri menegaskan ketika ini Sarawak merupakan pengeluar terbesar dari segi tenaga bersih yang dihasilkan daripada empangan hidroelektriknya, termasuk empangan Bakun.

 Abang Johari menerima ‘kasah’ daripada Ketua Gawai juga wakil SEB, Sipol Ambun (dua kiri) sebagai simbolik berakhirnya sambutan Gawai pada Majlis Gawai Raya SEB pada Jun 2019.
PENGHARGAAN: Abang Johari menerima ‘kasah’ daripada Ketua Gawai juga wakil SEB, Sipol Ambun (dua kiri) sebagai simbolik berakhirnya sambutan Gawai pada Majlis Gawai Raya SEB pada Jun 2019.

MANFAAT KEPADA RAKYAT SARAWAK

Bagaimanapun Ketua Menteri tidak hanya melihat manfaat ekonomi daripada penjanaan elektrik kepada negara jiran dengan tidak meminggirkan rakyat Sarawak menerusi beberapa inisiatifnya.

Baru-baru ini beliau turut mengumumkan Kerajaan Sarawak bakal menanggung kos penyambungan talian elektrik bernilai bawah RM5,000 ke kediaman penduduk mulai tahun 2020.

Katanya, bagi kos penyambungan kabel elektrik bernilai RM5,001 hingga RM7,000, diskaun sebanyak 70 peratus akan diberikan.

“Ini bermakna, pemilik rumah itu hanya perlu membayar 30 peratus kos penyambungan kabel elektrik ke rumah mereka.

“Kos penyambungan bawah RM5,000 pula ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ia berkuat kuasa 1 Januari 2020,” katanya dipetik semasa berucap merasmikan bangunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) Sarawak di Kuching.

Pada Mac 2017, semasa sidang media khas mengenai penyerahan balik empangan Bakun kepada Sarawak, Abang Johari berkata pengambilalihan itu dijangka mempermudahkan kerajaan negeri dan SEB mengendalikan operasi empangan secara lebih efisien.

“Ia termasuk mengeksport tenaga tersebut kepada negara jiran, selain meneruskan dasar pengurangan tarif dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Ia juga membolehkan Sarawak muncul sebagai pengeluar utama tenaga (elektrik) bukan sahaja di dalam negara, bahkan di peringkat serantau dengan menawarkannya pada harga yang lebih kompetitif,” katanya.

Bukan itu sahaja Empangan Hidroelektrik Bakun yang mempunyai tasik buatan manusia yang terbesar dan dikelilingi hutan, mampu menjadi destinasi pelancongan kepada negeri ini.

Fakta menarik mengenai Empangan Hidroelektrik Bakun

* Empangan Bakun akan menjadi empangan jenis CFRD yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 205 meter.

*Tasik Bakun akan menjadi tasik terbesar di Malaysia (mengikut isipadu dan luas permukaan).

* Stesen jana kuasa Bakun akan menjadi penjana elektrik terbesar di Malaysia, mengatasi Empangan Pergau.

* Talian penghantar bawah laut Bakun akan menjadi yang terpanjang di dunia, mengatasi talian penghantar dari Norway ke Belanda.

* Empangan itu dibina dengan kos RM7.4 bilion ditauliahkan sepenuhnya pada Julai 2014 selepas siap sepenuhnya pada 2010 yang mempunyai keluasan menyamai negara Singapura.

* Pada Januari 1994, projek ini diswastakan kepada Bakun Hydroelectric Corporation, iaitu syarikat usaha sama Ekran Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Kerajaan Sarawak, Syarikat SESCO Berhad dan Malaysia Mining Corporation Berhad.

* Bakun Hydroelectric Corporation telah memberi kontrak elektrikal, mekanikal dan penghantaran kepada ABB. Beberapa pakar runding yang terlibat ialah Snowy Mountain Engineering Corporation, TNB Hydro (anak syarikat Tenaga Nasional Berhad) dan KLIA Consult.