EN  | BM
Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Font: IncreaseFont: NormalFont: Decrease
Background: 1 Background: 2 Background: 3 
The Official Website of
Ministry of Utilities Sarawak

Kementerian Utiliti sentiasa pantau 322 Projek Rakyat
Posted on : 10 Feb 2020  Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2020/02/09/kementerian-utiliti-sentiasa-pantau-322-projek-rakyat
 

Kementerian Utiliti sentiasa pantau 322 Projek Rakyat

 Dr Rundi (lima kiri), Alice (tujuh kiri), Christopher (tiga kiri) serta yang lain merakam kenangan pada Majlis Perasmian Projek Rakyat dan Projek Bekalan Air Sepanjang Jalan Deshon, Jalan Ling Kai Cheng, Jalan Teku dan Projek Bekalan Air Sepanjang Jalan Ulu Sungai Merah di Sibu, semalam. KEMUDAHAN RAKYAT: Dr Rundi (lima kiri), Alice (tujuh kiri), Christopher (tiga kiri) serta yang lain merakam kenangan pada Majlis Perasmian Projek Rakyat dan Projek Bekalan Air Sepanjang Jalan Deshon, Jalan Ling Kai Cheng, Jalan Teku dan Projek Bekalan Air Sepanjang Jalan Ulu Sungai Merah di Sibu, semalam.

SIBU: Kementerian Utiliti Sarawak sentiasa memantau perkembangan 322 Projek Rakyat di seluruh Sarawak agar projek-projek tersebut disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Projek Rakyat merupakan penyelesaian jangka pendek menjelang penyiapan Sistem Grid Bekalan Air pada 2025.

“Setelah Projek Rakyat ini siap sepenuhnya pada tahun ini dan 2021, pihak kementerian mengharapkan isu-isu bekalan air yang selama ini membelenggu rakyat terutama penduduk luar bandar akan dapat diselesaikan.

“Sekali gus merapatkan jurang perbezaan di antara penduduk luar bandar dan dalam bandar agar bersama-sama menikmati kemudahan utiliti asas ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Rakyat dan Projek Bekalan Air Sepanjang Jalan Deshon, Jalan Ling Kai Cheng, Jalan Teku dan Projek Bekalan Air Sepanjang Jalan Ulu Sungai Merah di sini semalam.

Dr Rundi berkata, dua projek bekalan air menerusi Projek Rakyat di kawasan bandar Sibu bernilai RM9.15 juta dan kedua-dua projek iaitu Projek Bekalan Air Sepanjang Jalan Deshon, Jalan Ling Kai Cheng dan Jalan Teku dan Projek Bekalan Air Sepanjang Jalan Ulu Sungai Merah telah siap pada 2019.

“Dengan siapnya kedua-dua projek itu, bekalan air ke kawasan Teku Pasai akan bertambah baik dan dapat memenuhi permintaan air semua penduduk di kawasan itu serta di sepanjang Jalan Ling Kai Cheng dan Jalan Ulu Sungai Merah.

“Projek-projek ini akan memberi manfaat kepada 4,929 isi rumah di Jalan Teku dan Teku Pasai dan 3,364 isi rumah di Jalan Ulu Sungai Merah,” ujarnya.

Sehingga kini, Dr Rundi berkata liputan bekalan air keseluruhan di Sarawak dianggarkan sebanyak 81.4 peratus dengan liputan bekalan air di kawasan bandar hampir 100 peratus, sedangkan liputan bekalan air di kawasan luar bandar hanya sekitar 62.4 peratus.

“Usaha kerajaan Sarawak kini tertumpu kepada peningkatan liputan bekalan air ke kawasan luar bandar dan membekalkan air yang bersih, mencukupi dan selamat kepada rakyat,” ujarnya.

Dr Rundi memberitahu membekalkan air bersih dan terawat ke seluruh Sarawak merupakan satu tugas yang amat mencabar kerana separuh daripada penduduknya tinggal di kawasan luar bandar dengan bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, bergunung-ganang serta jauh di huluan sungai.

“Tetapi kerajaan Sarawak tetap berusaha untuk memastikan semua rakyat termasuk di luar bandar yang terpencil mendapat bekalan air bersih 24 jam menjelang 2025.

“Kerajaan Sarawak, melalui Kementerian Utiliti Sarawak dan agensinya iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management Sdn Bhd komited dan sedang melakukan yang terbaik dalam membekalkan air bersih kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Sistem Grid Bekalan Air merupakan inisiatif jangka panjang kerajaan Sarawak untuk menangani isu air di seluruh Sarawak termasuk kawasan luar bandar.

“Sistem Grid Bekalan Air yang dicadangkan akan merentasi Sarawak dari selatan ke utara yang menghubungkan sistem-sistem bekalan air di sepanjang jalan untuk membentuk grid berterusan.

“Ia berperanan untuk menghubungkan loji-loji rawatan air utama dengan loji-loji rawatan air kecil bagi memastikan keberlangsungan pengagihan bekalan air di seluruh negeri Sarawak.

“Manakala Projek Rakyat merupakan penyelesaian jangka pendek menjelang penyiapan Sistem Grid Bekalan Air pada 2025. Projek Rakyat Bekalan Air yang bernilai RM2.8 billion sedang giat dijalankan oleh agensi-agensi bekalan air di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Jelasnya, peruntukan besar oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menunjukkan komitmen tinggi beliau dan kerajaan Sarawak di dalam menyelesaikan isu bekalan air terutama sekali di kawasan-kawasan luar bandar.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Sarawak Dato Ir Alice Jawan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong dan Timbalan Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng.